Myvi Bertembung Lori Di Jalan Gua Musang-Lojing
GUA MUSANG – Gara-gara pemandu terlelap, seorang maut manakala tiga lagi cedera dalam kemalangan membabitkan kereta dan lori di Kilometer 15, Jalan Gua Musang-Lojing, dekat Kampung Panggong Lalat, di sini hari ini.
Penumpang kereta jenis Perodua Myvi, Nur Najiha Mohd. Zaki, 20, yang berasal dari Pasir Mas meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.
Dalam kejadian pukul 5.50 pagi itu, pemandu kereta berkenaan Muhammad Iskandar Zulkarnain Bohkori, 20, serta dua penumpang lain, Nor Maizatul Najwa Zainuddin, 20, dan Khairun Adlin Adnan, 20, mengalami kecederaan ringan.
Manakala, pemandu lori jenis Hicom, Zuazni Nawi, 37, tidak mengalami kecederaan.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Mohd. Taufik Maidin berkata, hasil siasatan awal mendapati empat sahabat itu dalam perjalanan dari Cameron Highlands ke Gua Musang.
Katanya, ketika sampai di tempat kejadian pemandu kereta dipercayai terlelap sebelum kenderaan dipandunya memasuki laluan bertentangan dan merempuh lori.
“Mangsa yang maut di tempat kejadian telah dibawa ke Hospital Gua Musang untuk proses bedah siasat.
“Manakala tiga lagi mangsa yang cedera dirawat sebagai pesakit luar di hospital sama,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE
Komentar