Ahmad Faizal Azumu Bergelar Datuk Seri
IPOH – Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu mendahului senarai 285 penerima Darjah Kebesaran dan Pingat-pingat Negeri Perak sempena sambutan Ulang Tahun Keputeraan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah kali ini.
Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Tan Sri Zahidi Zainuddin berkata, Ahmad Faizal menerima Darjah Seri Paduka Mahkota Perak (SPMP) yang membawa gelaran Datuk Seri di samping seorang lagi iaitu Pro Canselor Universiti Malaya (UM), Datuk Seri Dr. Aishah Ong.
“Secara keseluruhan seramai 285 orang menerima darjah dan pingat kebesaran negeri Perak sempena Ulang Tahun Keputeraan Sultan Perak tahun ini.
“Selain dua penerima SPMP, 14 menerima Darjah Datuk Paduka Mahkota Perak (DPMP) yang membawa gela- ran Datuk, dua menerima Darjah Datuk Pahlawan Taming Sari (DPTS) yang membawa gelaran Datuk Pahlawan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Zahidi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Darjah Kebesaran Negeri Perak berkata, penerima-penerima lain ialah enam penerima Darjah Paduka Cura Simanja Kini (PCM), 23 menerima Darjah Paduka Mahkota Perak (PMP), 15 Darjah Ahli Cura Simanja Kini (ACM), 65 Darjah Ahli Mahkota Perak (AMP), 72 Pingat Pekerti Terpilih (PPT), 82 Pingat Jasa Kebaktian (PJK) dan empat penerima Pingat Lama Perkhidmatan (PLP).
Sementara itu, Zahidi berkata, pada istiadat penganugerahan darjah kebesaran di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar Ahad ini, Sultan Nazrin berkenan menganugerahkan kepada 18 orang yang terdiri daripada dua penerima SPMP, 14 penerima DPMP dan dua penerima DPTS.
“Anugerah-anugerah lain diperkenankan untuk dilangsungkan semasa sesi kedua pada 10 November ini,” katanya.
Komentar