Eskalator Runtuh, 20 Cedera Di Stesen Metro Rom
ROM – Lebih 20 orang, kebanyakannya peminat bola sepak Rusia, cedera apabila tangga bergerak di sebuah stesen metro di pusat bandar Rom runtuh kelmarin, kata pasukan bomba.
Sebahagian besar mangsa cedera di kaki dengan seorang parah selepas tersangkut pada besi tangga bergerak yang runtuh itu, lapor media Itali.
Rakaman video insiden itu menunjukkan kelajuan tangga bergerak menurun di stesen metro Repubblica itu tiba-tiba meningkat dengan cepat ketika berpuluh-puluh orang berada di atasnya.
Orang ramai menjerit dengan kuat ketika mereka jatuh bertindan atas satu sama lain di kaki tangga itu.
Media tempatan memetik saksi-saksi sebagai berkata, peminat bola sepak Rusia itu kelihatan mabuk dengan mereka melompat dan menari di atas tangga bergerak sebelum ia runtuh. Bagaimanapun, penyokong bola sepak Rusia menafikan dakwaan tersebut.
“Kami berada di sini untuk mengetahui apa yang berlaku dan untuk memberikan sokongan kepada mangsa yang cedera serta keluarga mereka,” kata Datuk Bandar Rom, Virginia Raggi kepada wartawan di lokasi kejadian.
Susulan kejadian itu, stesen metro berdekatan stesen kereta api Termini di Rom itu ditutup dan beberapa siasatan dilancarkan.
Kejadian menakutkan itu berlaku sekitar pukul 1.30 pagi semalam (waktu Malaysia) dan sejam sebelum sepak mula perlawanan Liga Juara-Juara antara kelab Itali, Roma menentang CSKA Moscow dari Rusia. – AFP
Komentar