Mana Pihak Berkuasa Cameron Highlands – Presiden Peka
KUALA LUMPUR – Kejadian tanah runtuh di Cameron Highlands semalam mungkin belum cukup untuk menyedarkan pihak berkuasa dalam menangani isu yang bukan kali pertama berlaku tersebut.
Kejadian yang telah meragut beberapa nyawa dan menyebabkan kerugian berbilion ringgit kepada negara ini seakan-akan terus dipandang sepi terutama langkah penguatkuasaan yang diibaratkan ‘hangat-hangat tahi ayam’ walaupun pernah mendapat perhatian meluas pelbagai pihak.
Kini, persoalan demi persoalan timbul tentang sejauh mana tahap keprihatinan dan keseriusan untuk menangani isu tanah runtuh yang sering kali dikaitkan dengan penerokaan tanah haram di salah sebuah lokasi pelancongan terkemuka negara itu.
Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka), Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil mendakwa, masalah tersebut mempunyai kaitan dengan kelemahan penguatkuasaan sendiri.
“Sekarang ini siapa yang jaga Cameron Highlands? Dahulu ada tentera jaga. Tetapi sekarang tidak. Apa yang diperhatikan semakin banyak pula penerokaan tanah haram.
“Penguatkuasaan pun tiada. Kalau ada, semuanya boleh ‘dibeli’. Jadi sekarang ini, kerajaan Persekutuan perlu mainkan peranan dan bukan hanya di berikan kepada pihak berkuasa di sana sahaja,” katanya ketika di hubungi di sini.
Utusan Malaysia hari ini menegaskan kejadian tanah runtuh di Cameron Highlands berisiko berlaku lagi jika aktiviti menarah bukit diteruskan.
Semalam, tiga warga Myanmar terkorban dalam kejadian tanah runtuh di Kampung Tiga, Kuala Terla, Cameron Highlands.
Sejak 10 tahun lepas, lebih 13 penduduk terkorban akibat tanah runtuh dan banjir lumpur di kawasan tanah tinggi tersebut.
Komentar