Menurut anak seni yang telah 31 tahun menjalani kehidupan sebagai anak seni, tuntutan yang dikemukakannya ke atas DSV adalah untuk dijadikan satu pengajaran kepada penganjur dan bakal penaja di luar sana agar ada satu Standard Operation Procedure (SOP) apabila tampil untuk menaja sesuatu persembahan.

“Pengajaran ini juga untuk rakan-rakan artis yang lain supaya berani menyuarakan hak kita seperti mana yang dijanjikan oleh pihak penaja.

“Dan dalam SOP juga perlu ada satu had masa atau time frame yang munasabah bilakah hadiah yang dijanjikan, diserahkan dan jangan dijadikan satu amalan biasa dalam kalangan para penganjur berpotensi untuk menidakkan apa yang dijanjikan.

“Had masa dalam SOP itu pula biarlah sekurang-kurangnya sebelum musim penganjuran akan datang,” ujarnya.

Jelas Aishah lagi, tidak ada motif atau niat lain dalam apa yang dilakukannya hari ini sebaliknya tindakan yang diambil adalah atas dasar prinsip dan untuk dijadikan satu pengajaran, jangan mempergunakan nama artis untuk menjual produk atau iklan kerana cara sebegini tidak betul.

Mengakui frasa yang dilaluinya dalam menuntut hak yang dijanjikan tetapi tidak ditunaikan, Aishah tertekan tetapi tekanan yang dihadapinya itu, dilalui dengan baik.

“Malang bagi kami artis-artis yang bergerak sendiri untuk mendapatkan keadilan.

“Saya ambil tindakan ini selepas 10 bulan berlalu dengan bantuan firma guaman.

“Kalau ikutkan memang malas untuk buat apa yang saya buat ini tetapi perkara seperti ini tidak boleh dibiarkan,” katanya yang tidak mahu melihat artis boleh dibuli dengan mudah.

Menjawab soalan pemberita berhubung satu lagi penganjur yang tidak mengotakan janji memberi sebidang tanah lot banglo, beliau bersama peguam sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan kolektif. – UTUSAN ONLINE