Bergelar Datin Dan Datuk, Rezeki Anak-Niena Baharun
KUALA LUMPUR: Tidak pernah menyangka bergelar Datin pada usia muda, pelakon Niena Baharun bersyukur dilimpahi rezeki berganda selepas hamil cahaya mata pertama hasil perkongsian hidup dengan ahli perniagaan, Datuk Aliff Firdaus Abdul Hadi.
Niena, 24, memberitahu, biarpun dilempar kritikan apabila menghebahkan pingat membawa gelaran ‘Datuk’ yang diperoleh suami melalui media sosial, semalam, dia berharap netizen tidak membuat tuduhan meluru.
“Biasalah, tidak semua yang kita buat boleh memuaskan hati orang.
“Saya ada terbaca komen yang mengatakan gelaran ‘Datuk’ mudah diperoleh… Tetapi hakikatnya orang tidak tahu menahu perkara sebenar.
“Terlalu cepat menilai dan memfitnah tanpa menyelidik terlebih sesuatu perkara… Selidik dulu latar belakang atau sebarang faktor sebelum menghakimi,” katanya kepada BH Online.
Niena mengulas kritikan dilemparkan netizen selepas dia memuat naik foto mengiring suami menerima darjah kebesaran negeri Pahang sempena Istiadat Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah di Istana Abu Bakar, Pekan, semalam.
Niena berkata, sebagai isteri, dia berbangga dengan pencapaian suami.
“Biar apa pun, Niena bersyukur dengan rezeki yang diberi Allah terutama selepas berkahwin.
“Semua sedia maklum dalam Islam pun, Allah sudah menjanjikan rezeki bagi mereka yang mendirikan masjid (berkahwin).
“Bukan saja daripada segi kerjaya, malah segala aspek seperti zuriat, kesihatan, suami dan banyak lagi. Tidak lupa juga doa daripada keluarga, peminat dan mereka yang berada di sekeliling,” katanya.
Niena yang semakin dikenali selepas memegang watak Husna melalui drama bersiri Jangan Benci Cintaku berkata, dia enggan melayan komen negatif apatah lagi ketika ini sedang hamil tujuh bulan.
“Saya tidak mahu layan mereka yang negatif kerana tidak memberi manfaat dalam hidup saya. Cuma saya sentiasa mengingatkan diri untuk memaafkan kesilapan orang dan mendoakan yang baik-baik buat mereka.
“Doakan saya dan kandungan berada dalam keadaan yang baik… Semoga semuanya dipermudahkan nanti,” katanya.
Tahniah Niena Baharun Dan Suami
Komentar