Bangunan Terbakar Di Bazar Ramadan Jalan Padi Ria
JOHOR BAHRU: Pengunjung Bazar Ramadan Jalan Padi Ria, Bandar Baru Uda di sini, berdepan situasi cemas apabila sebuah bangunan berhampiran terbakar, petang tadi.
Dalam kejadian jam 5.15 petang itu, asap putih yang keluar dari bumbung bangunan tiga tingkat itu mencetuskan keadaan cemas pengujung bazar yang sudah mula beroperasi sejak jam 4 petang itu.
Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Johor Bahru, Nordatul Badrul Abd Rahman, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 5.23 petang.
Katanya, tiga jentera bersama 13 kekuatan anggota bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan itu.
“Kebakaran membabitkan bangunan kedai tiga tingkat dan hanya tingkat tiga bangunan itu sahaja yang musnah hampir keseluruhan.
“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu dan pihak bomba menamatkan operasi kira-kira jam 6.32 petang,” katanya.
Nordatul Badrul berkata, punca dan anggaran kerugian masih dalam siasatan pihak bomba.
Susulan kejadian itu, kawasan sekitar bazar berkenaan mengalami kesesakan, bagaimanapun tiada sebarang kejadian tidak diingini dilaporkan.
Komentar