Pengurus Besar Organisasi Pendidikan Saintifik dan Kebudayaan Antarabangsa (IESCO), Dr. Mahmood Shakfa, 42, berkata, dia menerima panggilan daripada ayah mangsa yang menyuarakan hasrat agar jenazah dapat dikebumikan tempat kelahirannya di Jabalia, Palestin.

“Sejak tiba di Malaysia pada 2012, Fadi tidak pernah pulang ke Palestin dan ibu bapa serta adik-adiknya di sana amat merindukannya.

“Usaha untuk menghantar jenazah pulang kini sedang diusahakan dengan kerjasama dari pihak kedutaan Palestin, Mesir serta Malaysia dan dijangka mengambil masa dua hingga tiga hari,” katanya ketika ditemui di pekarangan bangunan Unit Forensik Hospital Selayang di sini sebentar tadi.

Mahmood yang merupakan jurucakap keluarga dan sahabat terdekat mangsa turut berharap agar perjalanan menghantar mangsa pulang berjalan dengan lancar serta tidak mendapat tentangan daripada mana-mana pihak.

Semalam, Fadi maut selepas ditembak sebanyak lebih 10 kali di Jalan Meranti, Medan Idaman, Setapak.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6 pagi itu, mangsa yang berusia 35 tahun yang sedang berjalan untuk ke surau berdekatan bagi solat subuh ditembak mati dipercayai oleh dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal berkuasa tinggi di hadapan kondominium yang dihuninya.

Semalam Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi turut mendedahkan, mangsa dipercayai dibunuh oleh ejen perisikan dari negara luar. – K! ONLINE