Ketua Pengarah Yapeim, Datuk Abibullah Samsudin berkata, rangkaian pasar raya tersebut diharap dapat membantu meningkatkan perniagaan usahawan perusahaan industri kecil dan sederhana (IKS) serta berpeluang menjual produk mereka di pasar raya terpilih.

“Kita mengambil inisiatif itu daripada Program Jualan Sentuhan Rakyat cetusan idea Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi membantu rakyat mengurangkan kos sara hidup yang diadakan di seluruh negara agar membolehkan rakyat membeli barang keperluan harian de­ngan harga jauh lebih murah berbanding harga pasaran.

“Yapeim yakin pasar raya tersebut akan mendapat maklum balas positif daripada orang ramai apabila beroperasi kelak,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis pelancaran Kad Keahlian Privilege Yapeim di sini hari ini.

Yapeim mengambil alih pasar raya tersebut sebagai strategi menaik taraf dan memperkembangkan projek pemborongan dan pembekalan Yapeim di samping menyokong inisiatif kerajaan dalam usaha menurunkan kos sara hidup masyarakat.

Sementara itu, kad keahlian Privilege Yapeim dengan kerjasama Real Rewards Resouces Sdn. Bhd. adalah usaha memperkukuh­kan perkhidmatan sedia ada untuk menyediakan apresiasi kepada kumpulan sasar.

“Kad keahlian bernilai RM10 tersebut bertujuan menghargai pihak yang terlibat terdiri pelanggan (penggadai Ar Rahnu Yapeim) seperti pembeli produk Yapeim Gold, pelanggan rangkaian Hotel Mesra Syariah dan peserta Tabung Ibadah Qurban.

“Kad tersebut membolehkan rakan niaga yang berdaftar dengan Yapeim mendapat manfaat seperti pengumpulan dan penebusan mata ganjaran, diskaun (potongan harga), rebat tunai, hadiah istimewa dan baucar tunai,” katanya.

Sementara itu, majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) tersebut menyaksikan pihak Yapeim diwakili Farihah Hasan manakala Real Rewards Resources pula diwakili Datin Rahmah Kassim.