Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Khairul Kamarudin berkata, melalui kad debit tersebut, pihaknya dapat membantu menyumbang secara signifikan kepada pembangunan sukan ragbi negara.

Sebelum ini Bank Islam telah berkolaborasi dengan sembilan pertubuhan sukan di mana ia meliputi sukan seperti bola sepak, hoki dan badminton.

“Pelancaran kad ini merupakan sebahagian daripada strategi Bank Islam dalam meluaskan rangkuman kewangannya kepada peminat sukan seluruh tanah air.

“Sebagai pengantara kewangan, ia adalah menjadi misi kami dalam membantu merealisasikan hasrat Bank Negara Malaysia untuk membentuk masyarakat tanpa tunai,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan bersempena pelancaran kad debit terbaharu itu di sini semalam.

Turut hadir Bendahari Kehormat MRU, Datuk Ahmad Zaki Zahid.

Selain itu, Khairul menerangkan, sehingga Februari lalu, pengeluaran kad debit Bank Islam telah mencatat sehingga 3.2 juta dan 87.4 peratus daripadanya terdiri daripada kad penjenamaan bersama persatuan sukan iaitu bola sepak dan hoki.

“Kami akan meneruskan usaha mencari peluang untuk bekerjasama dengan persatuan sukan yang lain bagi menyokong pembangunan sukan di Malaysia” tambahnya.

Selain itu, Bank Islam turut memperkenalkan Kempen Fearless Red Hibiscus yang mana ia merupakan kempen yang di­cipta khas untuk pemegang kad berkenaan.

Menurut Khairul, dengan permohonan kad debit tersebut dan perbelanjaan runcit minimum berjumlah RM100, pemegang kad layak untuk menyertai kempen berkenaan secara automatik dan berpeluang untuk memenangi hadiah wang tunai.

Hadiah utama untuk kempen yang bermula semalam sehingga 31 Julai ini ialah wang tunai bernilai RM3,000.

Dua hadiah untuk tempat ke­dua pula ialah sebanyak RM2,000 setiap seorang dan tiga hadiah untuk tempat ketiga dengan wang tunai bernilai RM1,000 setiap seorang.

Hadiah lain pula ialah jersi Skuad MRU dan bola ragbi yang ditandatangani pemain persatuan berkenaan.