Pengerusi Jawatankuasa Induk Jelajah Pendidikan Bumiputera, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Sahol Hamid Abu Bakar berkata, daripada sasaran itu, seramai 32,000 pelajar telah menerima tawaran melanjutkan pengajian dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

“Kita yakin sasaran 70,000 pelajar itu dapat dicapai menerusi 12 lagi siri jelajah yang akan dijalankan sehingga hujung tahun ini.

Jelajah Pendidikan Bumiputera 2018 Sasar 70,000 Pelajar Ke IPT

“Daripada 32,000 pelajar itu, seramai 29,000 melanjutkan pengajian ke pusat pengajian tinggi yang menawarkan program teknik dan vokasional manakala selebihnya ke universiti awam,”katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar program JPB 2018 peringkat Tanjong Karang di sini hari ini.

Program tersebut dirasmikan oleh Pengerusi Majlis Tindakan Perseketuan Negeri Selangor, Tan Sri Noh Omar.

Mengulas lanjut, Sahol berkata, setakat ini program Jelajah Pendidikan Bumiputera yang dilaksanakan sejak 2016 berjaya mendaftarkan seramai 120,000 pelajar ke IPT seluruh negara.

Katanya, setiap pelajar akan mendapat bantuan kewangan sebanyak RM1,500 daripada Yayasan Bank Rakyat sebagai persiapan memasuki IPTA.

JBP 2018 dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Putrajaya 14 Mac lalu akan menjelajah sebanyak 29 lokasi membabitkan 92 kawasan Parlimen di seluruh negara.

Jelajah tersebut disifatkan sebagai peluang kedua kepada pelajar bumiputera daripada keluarga miskin untuk melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).

Sementara itu, Noh Omar menggesa pelajar daripada golongan keluarga kumpulan isi rumah berpendapatan rendah (B40) mengambil peluang keemasan yang diberikan kerajaan kerana hanya pendidikan yang mampu merubah kehidupan dan masa depan keluarga.

“Jangan ingat kita gagal dalam peperiksaan kita akan gagal selama-lamanya. Kalau kita tidak cemerlang dalam bidang akademik, kita mungkin ada kelebihan dari segi kemahiran.

“Justeru itu, ambillah peluang kedua yang diberikan kerajaan untuk memajukan diri dan keluarga anda,” katanya. – K! ONLINE