Projek sepanjang 688 kilometer menghubungkan Pelabuhan Klang, Selangor dengan Pahang, Terengganu dan Kelantan, yang akan mempunyai 28 stesen itu menawarkan perkhidmatan kereta api penumpang dan kargo. Projek dijadual siap pada Jun 2024.

Pada majlis pecah tanah di stesen ECRLTunjong, Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pembinaan stesen ECRL itu akan mengubah bandar tersebut kepada pusat pertumbuhan ekonomi baharu bagi rakyat di negeri berkenaan.

Mengulangi pendapat yang sama, seorang penduduk Kelantan, Mohd. Farhan Hafiz Nozeli, 30, berkata, pada peringkat makro, projek itu akan membantu penggiat sektor pembinaan domestik dengan anggaran kontrak bernilai RM16 bilion serta merangsang sektor pelancongan.

“Sektor pengangkutan barang juga boleh memanfaatkan projek ini manakala pada peringkat mikro dijangka menawarkan pekerjaan mahir untuk penduduk tempatan.

“ECRL akan menjadi platform untuk menyediakan lebih banyak pekerjaan dan pada masa sama meningkatkan infrastruktur sepanjang laluan tersebut untuk rakyat,” katanya kepada Bernama.

Seorang pensyarah dari Kuantan, Pahang, Juliawati Mohd Yunus, 35, berkata projek itu telah memberi kesan kepada pasaran.

“Dalam industri hartanah, harga rumah di Kuantan telah mula meningkat sehingga 10 peratus dalam masa kurang daripada lima tahun. Nasib baik, saya telah membeli satu unit di Kota Sri Ahmad Shah, yang akan menjadi satu daripada stesen ECRL dan saya teruja untuk melihat perubahan di kawasan saya.

“Namun, kembali kepada idea projek ini, yang bertujuan untuk meningkatkan industri tempatan, terutama industri kecil dan sederhana, saya dapat melihat pasti sesuatu akan berubah. Tidak akan ada lagi masa yang panjang untuk mengangkut produk getah dari kilang pengeluaran getah di Johor untuk memenuhi permintaan di Kelantan.

“Perubahan pasti berlaku di kawasan itu dan ia akan dibangunkan untuk memberi khidmat yang lebih baik kepada negara. Stesen ECRL Tunjong hanya satu kilometer dari Lebuhraya Kota Baru-Gua Musang dan ia akan menjadi perhentian yang popular bagi pengguna jalan raya apabila pusat membeli-belah, kemudahan dan infrastruktur lain dibangunkan,” katanya.


Bagaimanapun, kata Juliawati, masih ada orang yang tidak dapat memahami mengapa kerajaan memutuskan untuk memilih pengangkutan kereta api apabila menaik taraf lebuhraya sedia ada dapat memberi manfaat kepada kedua-dua industri dan rakyat.

“Saya dan keluarga saya sering memandu ke Kuala Lumpur dan kami hanya boleh melakukannya pada waktu malam selepas bekerja dan kadang-kadang lebuh raya sesak dan ada kalanya anda akan melihat lembu-lembu merumput di sepanjang lebuh raya dan ini adalah berbahaya.

“Dengan menggunakan ECRL, kami boleh tiba di destinasi kami dengan selamat. Kebimbangan saya yang lain adalah tambang,” katanya.

Siti Safiah Ismail, 28, dari Terengganu mengalu-alukan projek tersebut kerana ia akan membantu ibu saudaranya menjual keropok lekor kepada penumpang menggunakan kereta api itu.

“Bagi kami usahawan mikro, kami bergerak serentak di kawasan pantai timur dan kereta api adalah sesuai untuk kami kerana dapat mengangkut produk kami dan memberikan kepada pelanggan kami dengan baik.

“Fakta bahawa ECRL dapat memendekkan masa perjalanan adalah satu bonus dan ia dapat meningkatkan perniagaan kami kerana kami dapat menghantar lebih banyak produk segar kepada pelanggan dan meningkatkan frekuensi perjalanan kami,” katanya.

Dilaporkan yang keluaran dalam negara kasar pantai timur dijangka meningkat sekurang-kurangnya 1.5 peratus berikutan projek ECRL.

Pemilik projek, Malaysia Rail Link Sdn Bhd, dalam satu kenyataan berkata,di Kelantan sahaja, pembinaannya berjalan lebih cepat daripada jadual.

Sementara itu, Timbalan Pengarah (Hubungan Industri (amp) Pengkomersialan) Institut Pengangkutan Malaysia, Universiti Teknologi MARA, Shah Alam, Dr Shahrin Nasir berkata, semua orang melihat ECRL sebagai pengubah penting untuk negara.

“Antara lain, perjalanan lima jam dari Tumpat, bukannya 11 jam dengan kereta atau 13 hingga 24 jam dengan laluan kereta api lama akan meningkatkan pergerakan pelancong ke pantai timur.

“Pelancongan pasti akan meningkat. Pada pendapat saya keseluruhan penjajaran rangkaian kereta api boleh diguna untuk mempromosi pelancongan di kawasan tersebut. Pakej pelancongan untuk meneroka pulau-pulau indah di Terengganu boleh menjadi salah satu tarikan,” katanya.

Shahrin berkata, walaupun ramai yang bimbang mengenai tambang kerana projek itu bernilai RM55 bilion, beliau akan melihat ERCL lebih banyak untuk pergerakan kargo dari pantai timur ke Pelabuhan Klang.

Kerajaan menambah RM5 bilion untuk menyambung laluan dari Gombak ke Pelabuhan Klang yang merupakan pintu masuk ke Malaysia.

“Persekitaran perniagaan akan berubah kerana ECRL akan membuka lebih banyak kawasan perindustrian dan juga menyokong kawasan industri sedia ada di pantai timur. Apabila lebih banyak kawasan perindustrian dibuka, orang akan mula bergerak dari pantai barat ke pantai timur.

“Taman Perindustrian Gambang adalah salah satu contoh. Jika lebih banyak taman perindustrian di Terengganu dan Kelantan dapat dibina,ia akan menjadikan negeri ini lebih makmur,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, cabaran terbesar adalah untuk memastikan ECRL akan menjadi perkhidmatan pilihan bagi pergerakan penumpang dan kargo.

Perniagaan kereta api, katanya, memerlukan penambahbaikan agar dapat bertahan.

“Ini serupa dengan apa yang dilakukan Keretapi Tanah Melayu Bhd dengan memperkenalkan perkhidmatan kereta api elektrik. Dengan perkhidmatan yang boleh dipercayai, pelanggan akan yakin untuk menggunakannya.

” Kerata api kurang mempunyai masalah alam sekitar. Sekiranya rakyat Malaysia boleh dididik untuk melihat kebaikan kepada alam sekitar melalui perjalanan kereta api, ECRL akan menjadi perkhidmatan pilihan mereka,” katanya. – BERNAMA