Daripada membangunkan taman solar di daratan untuk mengeluarkan tenaga, beliau mencadangkan cara baharu itu jika terbukti berjaya, akan memberi manfaat kepada penduduk luar bandar yang masih belum mempunyai bekalan elektrik.

Beliau berkata, tenaga dihasilkan daripada taman solar terapung boleh dihubungkan ke grid tenaga luar bandar untuk membekalkan elektrik kepada masyarakat luar bandar.

Abang Johari membuat saranan itu semasa beliau merasmikan pelancaran LONGi (Kuching) Sdn. Bhd. di Taman Teknologi Tinggi Sama Jaya di sini hari ini.

Syarikat itu merupakan pangkalan pembuatan integrated photo voltaic (PV) di lokasi tunggal yang mengeluarkan jongkong silikon Mono Crystalline, kepingan wafer, sel dan modul di rantau ini.

Sarawak juga merupakan satu-satunya negeri di Malaysia yang mana syarikat itu mengeluarkan keseluruhan rangkaian solar daripada polycrystalline silicon di Samalaju sehingga jongkong, kepingan wafer, sel dan modul di Taman Teknologi Sama Jaya di sini.

Menurut Abang Johari lagi, Sarawak menawarkan satu daripada tarif elektrik paling kompetitif di rantau ini berikutan mempunyai potensi besar bagi tenaga hidro.

“Di samping membekalkan tenaga kepada industri, kami juga patut mengeksploitasi sumber air kami bagi pengeluaran bahan bakar hidrogen yang merupakan sumber tenaga baharu dan bersih.

“Di Jepun, mereka sudah bercakap tentang masyarakat hidrogen dan kita perlu memanfaatkan peluang baharu ini. Malah, projek LRT yang dicadangkan juga boleh menggunakan tenaga bahan bakar hidrogen,” katanya.

Tambahnya, Sarawak merupakan pilihan betul bagi LONGi dan menurutnya, dalam tempoh dua tahun, LONGi telah berkembang pesat untuk memenuhi peningkatan permintaan bagi pasaran PV global dan nilai eksportnya dijangka meningkat kepada  RM1.5 bilion tahun ini. – Bernama