Ketiga-tiga suspek yang berusia 34 dan 30 tahun ditahan di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur dalam satu operasi yang dilancarkan kira-kira jam 4 petang tadi. Salah seorang suspek yang ditahan merupakan warganegara India yang berusia 30 tahun.

Menurut sumber, suspek-suspek tersebut didapati telah mengeluarkan sijil palsu ijazah sarjana, ijazah sarjana muda dan diploma tanpa memerlukan seseorang mengikut kursus pembelajaran di insitusi pengajian terbabit.

Jelasnya, sindiket ini hanya akan mengambil masa selama seminggu untuk menyediakan sijil palsu tersebut menggunakan nama-nama IPTS dengan bayaran antara RM2,000 hingga RM16,000 bergantung dengan jenis sijil dan IPTS.

“Mereka yang ditahan merupakan orang tengah yang menguruskan proses pembelian sijil palsu tersebut. Pasukan penyiasat kini dalam proses mengenalpasti individu yang bertanggungjawab untuk mencetak sijil pertauliahan palsu itu,” katanya.

Pihak SPRM juga sedang menyiasat sama ada terdapat penglibatan orang-orang dalam IPTS yang turut terlibat dan bersubahat dengan kegiatan sindiket terbabit.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata pihaknya masih sedang mengesan beberapa suspek yang dipercayai turut terlibat dalam kegiatan ini.

Kesemua suspek yang ditahan dijangka akan dihadapkan ke mahkamah Putrajaya esok untuk direman.

Kes tersebut disiasata mengikut Seksyen 16(a)(A) ASPRM 2009. – K! ONLINE