Pengarah Urusan Kumpulan Ireka, Datuk Lai Voon Hon berkata, Rimbun Kasia adalah pemba­ngunan terbaharu yang meliputi lima projek kediaman dan satu projek komersial di tanah seluas 30.56 ekar.

Jelas beliau, usahasama tersebut akan memberi fokus kepada projek Dwi@Rimbun Kasia iaitu sebahagian daripada pembangunan Rimbun Kasia dengan GDV RM400 juta.

“Sebanyak tiga blok kediaman yang keseluruhannya mengandungi 847 buah kediaman akan dibina untuk projek Dwi@Rimbun Kasia. Sementara itu, baki projek di Rimbun Kasia akan dibangunkan oleh Meadowfield Sdn. Bhd. di bawah jenama ZenZ.

“Projek Dwi@Rimbun Kasia akan bermula pada suku ketiga tahun ini dan dijangka siap pada 2021. Pelancarannya akan dibuat pada Julai depan,” katanya dalam sidang akhbar dalam majlis perjanjian usahasama antara Ireka dan Hankyu Hanshin di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengurus Besar Jabatan Pembangunan Korporat Hankyu Hanshin Properties Corp., Masahiko Toda; Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan Ireka, Monica Lai; Pengarah Eksekutif Kumpulan Ireka, Chan Chee Kian dan Ketua Pegawai Eksekutif Ireka Development Management Sdn. Bhd., Raymond Chin.

Tambah Voon Hon, susulan kerjasama itu juga Hankyu Hanshin akan mengambil alih 45 peratus kepentingan dalam Meadowfield Sdn. Bhd. sementara baki 55 peratus dimiliki oleh Ireka.

Menurutnya, keseluruhan pembangunan Rimbun Kasia mengambil masa antara lima hingga tujuh tahun untuk di­siapkan.

“Kami optimis akan mencatatkan kadar tempahan yang tinggi untuk projek ini berdasarkan kepada hasil kajian pasaran yang dilakukan dan dijangka memberi sumbangan positif kepada perolehan kumpulan bagi tahun kewangan semasa,” kata beliau.

Dalam pada itu, Toda berkata, Hankyu Hanshin telah melaksanakan pelbagai projek di rantau ASEAN seperti di Thailand, Vietnam serta Filipina dan usahasama dengan Ireka membolehkan syarikat itu mengembangkan sayapnya di Malaysia.