Sementara itu, polis menangkap tujuh orang kerana menjual samsu termasuk seorang lelaki di Jawa Barat yang mencampurkan ubat nyamuk dalam arak buatan sendiri.

“Dia mencampurkan alkohol tulen bersama ginseng, ubat batuk dan ubat nyamuk,” kata ketua polis tempatan, Agung Budi Maryoto pada satu sidang akhbar kelmarin.

Dalam satu kes lain, seorang penjual yang ditangkap me­ngaku dia mencampurkan alkohol tulen bersama Coca-Cola dan minuman tenaga, kata polis.

Minuman mengandungi alkohol dijual di bandar-bandar besar di Indonesia.

Namun, cukai tinggi menjadikan harganya mahal kepada buruh dan pekerja bergaji rendah, mendorong mereka membeli arak buatan sendiri yang berbahaya.

Perbuatan meminum alkohol pula dianggap tidak bermoral tetapi tidak melanggar undang-undang sivil negara itu.

Dalam perkembangan berkaitan, polis melakukan beberapa serbuan di seluruh Indonesia dan memburu penjual dan pengedar arak berbahaya itu.

“Kami percaya terdapat pengedar utama di sebalik kes ini,” kata ketua polis Jakarta Timur, Tony Surya Putra pada hujung minggu lalu, merujuk kepada kematian 24 orang selepas meminum samsu di sebuah kawasan di ibu kota Indonesia itu.

Yani Sumpena yang merupakan ketua hospital awam di Cicalengka, Bandung pula berkata, 19 orang meninggal dunia di hospital itu dan seorang lagi mati sebaik sahaja tiba untuk mendapatkan rawatan.

“Secara keseluruhan, kira-kira 40 orang dimasukkan ke hospital kerana simptom seperti mual, muntah, sesak nafas dan tidak sedarkan diri, manakala sebilangan lagi masih dirawat kerana minum samsu haram,” katanya.

Di Bandung, pentadbir tempatan, Hendro Pandowo mengesahkan tiga orang maut Ahad lalu kerana keracunan alkohol. – AFP/AP