Menurut sumber, pemfailan tersebut dilakukan setelah Armin dikatakan enggan melepaskan Ziana Zain atau nama sebenarya Siti Roziana Zin secara baik.

“Ya, Ziana ada failkan cerai pada 3 April lalu,” kata sumber ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Sementara itu, Armin ketika ditemui pemberita selepas prosiding sebutan semula kes di Mahkamah Majistret Shah Alam enggan mengulas lanjut berkaitan dakwaan tersebut.

Sebaliknya, Armin yang merupakan bekas pramugara kanan syarikat penerbangan Malaysia Airlines Bhd. (MAS) hanya menunjukkan isyarat tangan tidak bagus.

Peguam pemerhati Ziana Zain, Luqman Mazlan memberitahu, Armin tidak lagi tinggal sebumbung bersama Ziana Zain kerana menjalani tempoh jaminan selain tidak dibenarkan mendekati keluarga anak guamnya

“Keadaan mangsa iaitu anak lelaki Ziana Zain yang dicederakan oleh Orang Kena Tuduh (OKT) masih dalam trauma,” jelasnya.

Terdahulu, Mahkamah Majistret menetapkan 15 Mei depan bagi tarikh penyerahan dokumen berhubung kes Armin yang didakwa mencederakan anak lelakinya dengan menggunakan sebatang rotan sehingga luka dan lebam, 24 Februari lalu.

Perintah tersebut dikeluarkan Majistret Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Megat Mahathir Megat Tharif Afendi yang menyatakan pihaknya masih dalam proses menyiapkan dokumen berkaitan kes tersebut.

Mengikut pertuduhan, Armin yang bekerja sendiri didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan luka dan lebam terhadap seorang anaknya dengan menggunakan rotan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Denai Alam di sini antara pukul 8 malam hingga 10.30 malam, 24 Februari lalu.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun, denda atau sebat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan. – K! ONLINE