Lai How Yin, 45, yang beralamat di Kota Tinggi, Johor membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Majistret Khairuddin Anhar Mahmud.

Mengikut pertuduhan, How Yin didakwa bersubahat dengan dua pekerjanya iaitu warga Indonesia, Abdul Aziz Muhammad dan Parji Gunorawi untuk mengambil hasil hutan dengan memindahkan 193 batang pokok tanpa lesen sah di kompartmen 37, Hutan Simpan Klau/Raka pada pukul 10 pagi, 13 Mac lalu.

Pertuduhan dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Kaiyisah Shukri mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 15(2) Akta Perhutanan Negara 1984 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak melebihi RM500,000.

Sementara itu, Abdul Aziz, 45, dan Parji,44, yang berasal dari Lombok menghadapi tuduhan mengikut Seksyen 15(2) Akta Perhutanan Negara 1984 iaitu didakwa mengambil 193 batang pokok tanpa lesen sah pada masa, tarikh dan tempat sama.

Kedua-dua warga asing itu turut mengaku tidak bersalah terhadap satu lagi pertuduhan iaitu memasuki hutan simpan itu tanpa permit sah pada waktu dan tarikh sama.

Pertuduhan kedua itu dibuat mengikut subseksyen 47(1) Akta Perhutanan Negara 1984 dan boleh dihukum mengikut subseksyen 47(4) Enakmen Perhutanan Negara (Negeri-negeri Malaysia) (Pemakaian) 1986 yang membawa hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

How Yin dibebaskan dengan jaminan RM13,000 berserta seorang penjamin sementara Abdul Aziz dan Parji masing-masing tidak dibenarkan diikat jamin sementara menunggu sebutan kes pada 6 April ini.

Ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam Ooi Boo Aun.