Mangsa, Mohamad Syukri Kamalludin, 24, dari Gelang Patah dikatakan turun ke pantai bersama-sama rakannya, Muhammad Danial Rezeki, 20, kira-kira pukul 7.30 pagi.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kota Tinggi, Kapten Pertahanan Awam Mohd. Sarul Nizam Khirudin berkata, empat anggota APM bersama-sama seorang penyelamat Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) pergi ke lokasi kejadian dan menemukan Muhammad Danial terapung-apung dan nyaris lemas sebelum berjaya menyelamatkannya.

“Bagaimanapun, seorang lagi hilang. Selepas pencarian dilakukan, mangsa ditemukan terapung kira-kira 50 meter dari pantai pada pukul 8 pagi.

“Anggota APM cuba melakukan rawatan pertolongan cemas (CPR) ketika Mohamad Syukri dibawa naik ke pesisir pantai namun mangsa tidak memberi sebarang respon dan disahkan meninggal dunia,” katanya.

Menurut Mohd. Sarul, mayat Mohamad Syukri diserahkan kepada pihak polis dan dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk bedah siasat.

Difahamkan, Mohamad Syukri beralamat di Taman Nusantara, Bandar Nusajaya dekat sini manakala Muhammad Danial beralamat di Batu Caves, Selangor.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Ahsmon Bajah mengesahkan kejadian dan berkata hasil bedah siasat mendapati punca kematian akibat lemas.

“Pemeriksaan pada tubuh mangsa juga mendapati tiada unsur-unsur jenayah. Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pewaris bagi tujuan pengebumian,” katanya. – UTUSAN ONLINE