Namun kira-kira dua jam selepas panggilan itu, Khairiah Harun, 43, dikejutkan dengan berita suaminya ditemukan tidak sedarkan diri di tangga stadium berkenaan.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam itu, Azmi yang sedang menonton perlawanan bola sepak berkenaan disahkan meninggal dunia sejam kemudian setelah dibawa ke unit kecemasan Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk mendapatkan rawatan.

Khairiah berkata, dia terkejut apabila dimaklumkan jirannya bahawa suaminya pengsan ketika perlawanan berlangsung kerana arwah tidak menunjukkan se­­barang tanda-tanda tidak sihat.

“Saya terus ke HTAA memandangkan anak-anak yang turut ke stadium duduk ber­asingan dan tidak mendapat khabar tentang kejadian menimpa bapa mereka. Mereka dapat dihubungi selepas tamat perlawanan berkenaan.

“Doktor yang merawat suami memaklumkan dia tidak dapat diselamatkan berikutan nadinya lemah ketika tiba di unit kecemasan dan kemungkinan diserang sakit jantung,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Perumahan Seri Damai Perdana di sini hari ini.

Menurut Khairiah, kehilangan arwah mem­beri kesan besar buat keluarganya memandangkan dia merupakan seorang suri rumah dan mempunyai dua anak yang masih bersekolah.

Jenazah suaminya selamat dikebumikan pada pukul 10 pagi di Tanah Perkuburan Islam Batu 8 di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, kira-kira pukul 10 malam semalam, polis menerima maklumat seorang lelaki pengsan ketika sedang menyaksikan perlawanan bola sepak antara kedua-dua pasukan di stadium berkenaan.

“Sejurus selepas itu, lelaki itu dibawa ke Unit Kecemasan HTAA bagi mendapatkan rawatan.

“Mangsa disahkan meninggal dunia pada pukul 11.08 malam dan pemeriksaan mendapati kematian lelaki itu tidak membabitkan unsur jenayah,” ujarnya.