Tepuk dahi melihat reaksi Timbalan Presiden PKR itu kononnya mahu mencampak Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Ir. Dr. Zaini Ujang sekiranya dapat membuktikan air di empangan negeri itu penuh.

Hakikatnya, margin simpanan air bukanlah soal mana-mana empangan di negeri itu mempunyai air atau sebaliknya.

Perkara ini telah diterangkan dengan ringkas tetapi padat oleh Zaini dan Mohamed Azmin sepatutnya berlapang dada, meluangkan masa membaca serta memahaminya.

Zaini menjelaskan makna kosong peratus margin simpanan air ialah air terawat yang dihasilkan menerusi loji rawatan air yang hanya cukup-cukup untuk dia­gihkan kepada pengguna menerusi paip.

Beliau memberitahu, perkara itu bermakna tidak ada stok air lebihan untuk disimpan dalam tangki besar di kawasan perumahan atau perindustrian.

“Dengan kata lain, isi padu permintaan air sama dengan isi padu penghasilan air terawat.

“Jika berlaku ke­rosakan loji atau paip pecah, maka kawa­san terbabit akan mengalami gangguan bekalan air sehinggalah kerosakan tersebut dapat dipulihkan,” jelas beliau.

Sekiranya Mohamed Azmin masih tidak lagi faham, Zaini turut menerangkan bahawa jumlah gangguan bekalan air merupakan petunjuk utama untuk memantau tahap perkhidmatan bekalan air.

“Di Selangor sebagai contoh, sebanyak 259,537 aduan berhubung gangguan bekalan air direkodkan pada 2016 berbanding jumlah nasional 416,201,” kata beliau.