Calon Perdana Menteri sementara Pakatan Harapan yang diterajui DAP itu mendakwa BN sengaja mengasingkan kawasan pengundi Melayu dan Cina untuk memperoleh kelebihan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Pengerusi Pakatan Harapan itu juga mendakwa peti undi pos tidak diselia dengan baik sehingga boleh menyebabkan kertas undi dimanipulasi pihak tertentu.

“Pengundian bagi undi pos dibuat awal, peti undi disimpan tanpa dijaga oleh petugas parti pembangkang, itulah penipuan yang dibuat,” katanya dalam Ceramah Perdana Siri Jelajah Pakatan Harapan di Negeri Sembilan, di sini malam tadi.

Yang turut hadir Presiden Pakatan Harapan, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; timbalannya, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Dalam ceramah tersebut, Dr. Mahathir terus menjadikan cukai barang dan perkhidmatan (GST) sebagai modal politik sedangkan cukai tersebut pernah dikaji pelaksanaannya semasa pentadbirannya dahulu.

Beliau juga mendakwa ekonomi negara akan bertambah teruk jika BN menang pada PRU-14 dan memaksa rakyat negara ini berhijrah dan bekerja memetik buah-buahan di Australia. – UTUSAN ONLINE