Timbalan Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Maritim 1 Langkawi, Komander Maritim Nurulazme Zakariah berkata, pihaknya difahamkan kesemua nelayan tersebut sepatutnya pulang pada 12 Mac lalu namun masih belum dapat dikesan sehingga ke hari ini.

“Dua daripada individu yang hilang dikenali sebagai Harif Fadelah Zainol, 58, yang beralamat di Perumahan Awam Baru Kuala Kedah serta Abdul Ghani Jusoh, 56 dari Kampung Teluk Malik, Mukim Naga, Jitra. Seorang lagi masih belum dikenal pasti.

“Kesemua mereka menaiki sebuah bot pukat tunda dengan nombor pendaftaran KHF 301 yang kini masih belum ditemukan. Setakat ini, kami cuma menemukan kesan tompokan minyak kira-kira dua batu nautika dari Pulau Payar dan para penyelam APMM bersama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sedang berusaha memastikan sama ada benar terdapat bot tenggelam di situ,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Tambahnya, bersandarkan maklumat daripada pemilik bot tersebut, ketiga-tiga mereka sememangnya sering menjadikan kawasan di sekitar Pulau Payar sebagai lokasi untuk menangkap ikan.

“Setakat ini kami menggerakkan KM Siangin untuk membuat pencarian. Kami juga aktif mengumpulkan maklumat daripada komuniti nelayan sekitar perairan Pulau Payar, Pulau Segantang, dan perairan Langkawi berhubung perkara itu,” katanya.-UTUSAN ONLINE