‘Buntat’ nak sangat berlakon dengan Ayda-Janna.
PELAKON kanak-kanak yang mula dikenali menerusi drama 7 Hari Mencintaiku (7HM), Mohd Ariff Abdullah memasang impian untuk bergandingan bersama pelakon Janna Nick dan Ayda Jebat.
Menurut Ariff, 13, dia mengagumi bakat dua pelakon cantik ini dan berharap suatu hari nanti dapat bekerjasama dalam drama atau filem.
“Kalau tanya siapa pelakon wanita pilihan saya, pastinya Janna Nick dan Ayda Jebat berada dalam senarai pelakon kesukaan saya.
“Saya memang minat mereka berdua dan berharap satu hari nanti kami dapat berlakon bersama.”Janna dan Ayda bukan sahaja cantik dan popular, malah mereka juga hebat dalam bidang ini,” katanya kepada mStar Online.
Ariff ditemui di tayangan perdana filem Jibam yang diadakan di MM Cineplex ecurve, Petaling Jaya Selangor pada malam Isnin.
Pelakon cilik ini turut dikenali dengan nama panggilan ‘Buntat’ selepas berjaya membawakan watak berkesan dalam drama 7HM.
Sementara itu, Ariff berkata, dia tidak kisah andai penonton filem Jibam akan menggelarnya dengan nama panggilan tersebut pula.
Baginya, jika penonton terbawa-bawa dengan watak lakonannya, itu bererti dia berjaya menghidupkan karakter tersebut.
Komentar