Rasuah Dalam Kalangan Anggota Jabatan Imigresen Malaysia. Jabatan Imigresen akan memberi penekanan kepada tIga elemen penting dalam menangani isu rasuah di kalangan pegawainya di seluruh negara.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali berkata ketiga-tiga elemen itu – penguatkuasaan, pencegahan dan pendidikan – akan diserapkan dalam budaya kerja di kalangan kakitangan agensi penguatkuasa.
Beliau berkata Jabatan Imigresen bertekad untuk meningkatkan tahap integriti di kalangan pegawai dan kakitangan.
“Kami mahu memastikan setiap kakitangan kami melaksanakan tugasnya dengan integriti dan tidak terjerumus dalam amalan rasuah atau terlibat dalam sebarang bentuk penyelewengan.
“Sebagai bekas Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), saya akan terus memberi penekanan kepada toleransi sifar rasuah di kalangan kakitangan,” kata beliau pada sidang media selepas mengetuai lafaz Ikrar Bebas Rasuah kakitangan Jabatan Imigresen Labuan di sini hari ini.
Mustafar memberi amaran bahawa mana-mana kakitangan imigresen yang didapati terlibat dalam sebarang amalan rasuah akan dihukum.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa sebelum tindakan tegas diambil, adalah penting semua kakitangan dilengkapkan dengan kesedaran pendidikan mengenai rasuiah dan penyelewengan.
Mustafar berkata beliau mahu kakitangan imigresen mengambil bahagian dalam program transformasi mentaliti agensi itu bertujuan membangunkan pemikiran untuk menolak rasuah dan mempunyai pemikiran untuk berkata tidak sama sekali kepada rasuah.
“UntUk memastikan sifar dalam unsur-unsur rasuah, kita mesti berani untuk berkata tidak epada rasuah bermula dalam hati kita sehingga melafazkan kata-kata,” kata beliau. – BULETINDUNIA
SUMBER : BERNAMA (Rasuah Dalam Kalangan Anggota Jabatan Imigresen Malaysia)
Komentar