Itu jawapan ringkas yang diberikan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin mengenai kemungkinan besar pengli­batan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim di dalam Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada masa akan datang.

Sebelum ini terdapat desas-desus menyatakan pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) itu bakal mengambil alih pucuk pimpinan tertinggi FAM selepas Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah meninggalkan badan induk itu tidak lama lagi.

Penglibatan Tunku Ismail dalam badan induk bola sepak negara itu dilihat ‘semakin jelas’ apabila Bendahari FAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria bertemu dengannya dan membentangkan laporan kewangan persatuan tersebut.

Khairy berkata beliau juga sepatutnya bertemu dengan Tunku Ismail di Johor Bahru dalam beberapa hari ini namun disebabkan jadual mereka yang padat, perbincangan antara mereka telah berlangsung menerusi telefon.

“Disebabkan pertindihan jadual saya tidak sempat untuk ke Johor mengadap TMJ. Rabu depan saya akan ke Rio (Sukan O­limpik) dan saya te­lah maklumkan kepada TMJ bahawa mungkin saya tidak sempat ke JB tetapi saya telah berbual dengan beliau di telefon dan saya rasa penglibatan beliau sudah jelas,” katanya, selepas mengadakan pertemuan dengan beberapa exco FAM di pejabatnya di sini hari ini.

Khairy bagaimanapun enggan menjelaskan bentuk penglibatan Tunku Ismail dalam FAM kelak.

Baca juga jawapan TMJ di sini >> Presiden FAM Tidak Boleh Dari Kerabat Di Raja – TMJ.

Katanya lagi, beliau telah membentangkan formula baharu untuk memulihkan prestasi bola sepak negara kepada exco FAM, yang diketuai oleh timbalan presidennya Datuk Seri Afandi Hamzah, dalam pertemuan selama sejam selepas diperkenan oleh Presiden FAM, Tengku Abdullah dalam pertemuan minggu lepas.

Antara yang turut menyertai Afandi dalam perbincangan itu ialah Timbalan Presiden II FAM Datuk Abdul Mokhtar Ahmad, Ahli Jawatankuasa Eksekutif Datuk Mohd. Junid Mohd. Noor, Naib Presiden Datuk Takiyuddin Hassan dan Mohamad Norza.

Katanya, antara intipati formula berkenaan adalah berkaitan kepimpinan dan hala tuju FAM serta penglibatan semua pihak dalam membentuk masa depan bola sepak negara.

“Saya rasa secara spesifiknya keputusan akan diumumkan pada 15 Ogos ini iaitu dalam Mesyuarat Exco FAM. Saya rasa penting untuk exco sendiri buat keputusan ini,” jelasnya.